SUBANG JAYA: Dua lelaki berusia 29 dan 44 tahun ditahan polis kerana mengurung penyewa rumah yang didakwa gagal menjelaskan sewa bulanan di Tropicana Metropark, Subang Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari, berkata polis menerima laporan daripada ahli keluarga mangsa yang memaklumkan pintu jeriji rumah berkenaan dikunci pemilik rumah.

Katanya, pintu berkenaan dikunci pada Sabtu lalu kerana penyewa gagal membuat bayaran bulanan sebanyak RM1100 kepada pemilik rumah.

“Seorang lelaki yang juga ejen hartanah mengunci pintu berkenaan menggunakan kunci mangga atas arahan pemilik rumah.

“Bagaimanapun kedua-dua suspek ditahan selepas diarah membuka kunci rumah berkenaan pada 11.30 pagi semalam,” katanya.

Muhammad Azlin berkata, mangsa yang tinggal bersama keluarga gagal keluar dari rumah berkenaan selama 15 jam akibat dikunci.

“Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan – berita harian