BAGAN SERAI – Demi membantu mengurangkan beban kewangan negara, tujuh peniaga dan penjaja kecil di Restoran Kopitiam Soon Soon Hup, Jalan Siakap di sini berjaya mengumpul sebanyak RM7,000 untuk diserahkan kepada Tabung Harapan Malaysia yang dikutip dalam tempoh empat jam.

Majlis serahan sumbangan telah diadakan secara sederhana pagi semalam di pasar tersebut dengan Ketua PKR cabang Bagan Serai, Sharif Sarjono menyempurnakan acara penerimaan replika cek daripada kumpulan peniaga berkenaan.

Penganjur program kutipan tabung itu, Khong Ah Bee berkata, jumlah tersebut berjaya dikumpul dalam tempoh empat jam dengan sokongan daripada para peniaga dan pelanggan.

“Apabila kami mendengar mengenai hutang negara mencecah RM1 trilion, kami semua terkejut.

“Kami ingin tunjukkan kami sayangkan negara. Ini hanyalah sumbangan kecil kami buat negara,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, wakil masyarakat India penyokong Pakatan Harapan (Harapan), Abraham Ellias,42, berkata, sumbangan derma yang diberikan itu merupakan tanda rasa sayang kepada Malaysia.

Menurutnya, program pemberian sumbangan kepada Tabung Harapan Negara turut mendapat perhatian serius masyarakat India yang memandang positif usaha kerajaan Harapan memulihkan kembali ekonomi negara ketika ini.

“Masyarakat India di Parlimen Bagan Serai rasa gembira dapat turut sama membantu kerajaan menangani hutang negara,” katanya – sinar