KUALA TERENGGANU: Sebanyak RM542,910 hasil bayaran 4,697 saman dikutip daripada pesalah lalu lintas sempena tawaran diskaun 50 peratus ditawarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu selama dua hari bermula Jumaat lalu.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Nor Nizam Johari, berkata tawaran diberikan bersempena program Hari Bersama Pelanggan IPD Kuala Terengganu bagi memberi peluang kepada pesalah trafik menjelaskan bayaran saman tertunggak.

“Sepanjang tempoh dua hari kaunter dibuka seawal jam 8.30 pagi, seramai 1,750 pesalah trafik selesai membayar saman membabitkan keseluruhan kutipan sebanyak RM542, 910.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM196,110 dikutip membabitkan 1,380 pesalah trafik yang melakukan pelbagai kesalahan, manakala RM346,800 daripada 3,317 kesalahan membabitkan pandu had laju serta halangan lalu lintas.

“Jumlah saman tertinggi diterima adalah sebanyak RM4,000 membabitkan sebuah syarikat manakala jika membabitkan individu, sebanyak RM2,000,” katanya.

Nor Nizam berkata, kebanyakan saman yang dibayar membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju ditetapkan serta saman berkaitan cukai jalan dan lesen memandu tamat tempoh, tiada perlindungan insuran dan tidak memakai topi keledar.

Bagaimanapun, katanya, tawaran diskaun tidak termasuk untuk enam jenis saman iaitu membabitkan kemalangan tahun semasa, berstatus NC, berstatus waran tahun semasa, dalam perbicaraan, berkaitan lori dan sebarang saman sempena Op Selamat tahun semasa – berita harian