KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengumuman gembira buat 13.73 juta ahlinya apabila pencarum yang berusia 55 dan 60 tahun boleh membuat pengeluaran sebahagian baki simpanan mereka dalam jumlah yang tidak dihadkan dan tanpa tempoh masa tertentu.

Langkah tersebut dilihat memberi kemudahan dan le­bih pilihan kepada pencarum berbanding polisi sebelum ini apabila pencarum hanya boleh mengeluarkan baki simpanan mereka minimum sebanyak RM2,000 setiap 30 hari.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, selain skim pengeluaran pada bila-bila masa, pencarum berusia 55 dan 60 tahun juga boleh memilih polisi pengeluaran bulanan dengan pengeluaran serendah RM100 sebulan.

Katanya, sebelum ini KWSP menetapkan pencarum mengeluarkan minimum RM250 untuk skim bulanan.

“Misalnya, jika ahli memilih untuk membuat pengeluaran sebahagian selepas berumur 55 tahun, mereka boleh melakukannya pada bila-bila masa, dalam jumlah yang dikehendaki mengikut keperluan masing-masing.

-Kosmo