Batu Gajah: Bomba menyelamatkan labi-labi gergasi seberat 80 kilogram yang tersangkut di longkang di hadapan sebuah rumah di Kampung Terap, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, pemilik rumah terjumpa labi-labi berukuran 1.2 meter panjang dengan lebar 0.6 itu di longkang.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.59 pagi mengenai kejadian itu.

“Anggota mengeluarkan labi-labi itu dari longkang menggunakan tali dan menyerahkannya kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sebelum dilepaskan semula ke habitat asal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Isa Zainal dengan kekuatan lapan anggota dan tamat pada jam 10.38 pagi.