IPOH: Setelah berjaya dengan konsep kampung inap desa, Labu Kubong di Kuala Kangsar, kini giat berusaha menarik pengiktirafan dunia apabila menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi menganjurkan World Strongestman Cup pada tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lubuk Merbau, Datuk Siti Salmah Mat Jusak berkata, penganjuran Cabaran Badang Labu Kubong yang memasuki tahun keempat pada tahun itu, berjaya menarik minat World Strongestman Federation (WSF) untuk mengangkat acara itu ke peringkat dunia.

“Satu perjanjian telah ditandatangani antara pihak penganjur Cabaran Badang dengan WSF bagi penganjuran World Strongestman Cup iaitu menjadikan Badang sebagai salah satu sirkit wajib bagi setiap peserta yang mengambil bahagian dalam siri kejohanan tersebut.

“Ini satu pengiktirafan besar kepada Kampung Labu Kubong dan DUN Lubok Merbau serta Negeri Perak amnya,” ujar beliau dalam perbahasannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Tambah Siti Salmah, baru-baru ini, inap desa Labu Kubong
juga telah menandatangani MoU dengan pengendali keretapi Eastern & Oriental Express untuk membolehkan pelancong luar negara singgah ke inap desa itu setiap minggu.

“Kampung Labu Kubong menyediakan pakej budaya kampung yang cukup menarik termasuk masakan kampung, silat Melayu, tarian dan permainan tradisional, aktiviti berkelah di pinggir sawah, mandi-manda di tali air dan makan durian.

“Program menaiki keretapi Eastern & Oriental Express ke Homestay Labu Kubong ini akan membawa pelancong melihat keunikan budaya dan keindahan yang ada di Labu Kubong. Ia akan bermula pada tahun 2018,” ujarnya.