GERIK: Hulu Perak akan mempunyai satu lagi tarikan pelancongan, Ladang Bunga Pakma atau Rafflesia, yang bakal menggamit kedatangan pelancong dalam dan luar negara ke daerah itu.

Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman berkata, ladang seluas 250 hektar itu akan dibangunkan di kawasan Felda Bersia di sini dengan kos kira-kira RM15 juta.

Menurut beliau, projek tersebut adalah usahasama antara Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Felda Global Venture (FGV).

“Peruntukan telah diluluskan dan saya berharap ia akan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui di sini.

hasbullah-gerikMenurut Hasbullah, pihak FRIM akan menanam pelbagai jenis spesis Bunga Pakma di ladang tersebut yang dijangka menjadi tarikan, bukan sahaja di kalangan pelancong, tetapi juga para pengkaji.

Bunga Pakma merupakan genus sejenis tumbuhan berbunga dengan bunga yang besar dan spesis Rafflesia arnoldii merupakan yang terbesar di dunia dengan saiz 91 cm diameter, 1.9 cm tebal dengan berat 7 kilogram.

Taman Negeri Royal Belum mempunyai tiga spesis daripada 20 spesis bunga terbesar di dunia iaitu Rafflesia azlanii, Rafflesia cantleyi dan Rafflesia kerrii.

Antara spesis bunga tersebut ialah Rafflesia arnoldii, Rafflesia gadutensis, Rafflesia hasseltii, Rafflesia keithii, Rafflesia manillana, Rafflesia micropylora, Rafflesia pakma, Rafflesia pricei, Rafflesia rochussenii, Rafflesia schadenbergiana, Rafflesia speciosa, Rafflesia tengku-adlinii dan Rafflesia tuan-mudae.