GERIK: Selepas kebakaran hutan di kawasan Hutan Simpan Gunung Korbu di Sungai Siput pada Selasa, satu lagi kebakaran hutan berlaku di Perak.

Kebakaran pada Khamis melibatkan kira-kira 16 hektar hutan di Gunung Laba, berhampiran Kampung Air Ganda, Gerik.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu kira-kira jam 8.34 pagi Khamis.

Menurutnya, kebakaran melibatkan bukit Gua Tedung yang terletak pada ketinggian 314 meter dari aras laut.

“Kebakaran sedang merebak ke Gunung 7 dan operasi pemadaman sedang dijalankan,” katanya.

Operasi melibatkan 18 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Pengkalan Hulu dan Taiping, dengan dibantu 14 orang daripada Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

Pada Selasa, kira-kira 10 hektar hutan di kawasan Hutan Simpan Gunung Korbu di Sungai Siput terbakar dan operasi pemadaman masih berjalan.