GERIK – Penduduk Kampung Bendang Kerajaan dan Kampung Ulu Kenderong dinasihatkan menggunakan laluan alternatif selepas jambatan di kampung itu hampir runtuh, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan laluan itu kini telah ditutup.

Menurutnya, hakisan tebing Sungai Air Kudung menyebabkan tiang jambatan tersebut runtuh dalam kejadian pada jam 12.00 tenghari itu.

Tambah beliau, tiada penduduk melalui kawasan itu sewaktu kejadian dan perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan lanjut.

“Anggota telah menutup laluan itu dan memasang papan tanda serta tali premeter. Kedua-dua laluan ditutup kerana keadaan berbahaya kepada orang awam.

“Penduduk di Kampung Ulu Kenderong dan Kampung Bendang Kerajaan perlu menggunakan laluan alternatif lain di Kampung Gerik,” katanya.

-Sinar Harian