IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri , Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK ) Perak telah menyita 24,000 kilogram minyak masak bernilai RM60,000 dalam satu serbuan di sebuah syarikat pembungkus minyak masak, di Jalan Lahat Menglembu pagi tadi.

Menurut Ketua Seksyen Bekalan, Harga dan Anti Pemacutan KPDKKK Perak, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan, dalam serbuan jam 11 pagi itu, sepasukan pegawai KPDNKK telah menahan dua pemilik bersama syarikat berkenaan kerana kesalahan menyimpan minyak masak melebihi kuota yang ditetapkan.

Katanya, pemilik syarikat berumur 55, bersama pengurusnya yang berumur 51 tahun didapati melanggar syarat lesen kerana menyimpan sebanyak 24,000 kilogram minyak masak yang tidak sepatutnya berada dipremis mereka.

“Berdasarkan lesen yang dikeluarkan, syarikat berkenaan hanya dibenarkan menyimpan sebanyak 9,300 kilogram sahaja dan bukan 24,000 kilogram minyak masak,’’ katanya kepada pemberita di syarikat berkenaan pada Sabtu.

Menurut Ahmad, kedua lelaki tersebut melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan jika disabitkan kesalahan untuk individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tiga tahun atau keduanya sekali.

 

 

Katanya, bagi syarikat pula denda tidak lebih RM2 juta manakala bagi kesalahan kedua denda tidak melebihi RM5 juta.

Beliau berkata, rampasan itu menjadikan nilai keseluruhan sitaaan rampasan minyak masak di Perak setakat ini berjumlah lebih RM156,000 dengan 54,537 kilogram minyak masak.