LUMUT – Seorang lagi nelayan tekad terjun ke dalam laut selepas menyedari kehadiran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) kira-kira 1.8 batu nautika dari Sungai Belukang, Hutan Melintang, di sini, semalam.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, kejadian pada jam 9.10 pagi itu menyebabkan nelayan tersebut berjaya meloloskan diri selepas berenang ke pantai berhampiran.

“Ketika kejadian sebuah bot petir milik Maritim sedang melakukan rondaan dan anggota cuba menghampiri sebuah bot nelayan tempatan yang melakukan aktiviti penangkapan ikan dalam keadaan mencurigakan.

“Bagaimanapun, ketika menghampiri nelayan terbabit mengambil tindakan tekad terjun ke laut dan berenang ke pantai berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, anggota Maritim tidak dapat mengejar nelayan berkenaan ekoran dia berenang ke kawasan cetek dan tidak boleh dilalui oleh bot milik pasukan itu.

“Tetapi kita berjaya menahan bot nelayan terbabit dan ia dibawa ke Jeti Kampung Acheh untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya.

Minggu lalu dua nelayan turut tekad terjun dari bot mereka di kawasan 0.6 batu nautika barat daya kuala Sungai Rungkup, Bagan Datuk, tidak jauh dari lokasi seorang nelayan yang terjun pagi semalam.

Wan Mat berkata, pihaknya sering menerima aduan nelayan pantai mengenai kegiatan rawa sorong di perairan Perak kerana punca rezeki mereka terganggu.

“Saya turut bersimpati dengan keluhan itu dan menyeru kepada nelayan yang terlibat supaya menghentikan aktiviti yang tidak bertanggungjawab dan menyusahkan nelayan tradisional,” katanya – sinar