IPOH: Prihatin keperluan kakitangan awam di negeri ini, kerajaan membina 360 unit lagi rumah untuk mereka di bawah projek Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) Elemen @ 18 di Pengkalan dekat sini.

Selain itu, kerajaan melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) membina rumah untuk penjawat awam di Seri Manjung di samping beberapa lagi di Behrang dan Meru Raya.

rumah lagi 1

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat untuk mempunyai rumah mampu milik.

“Penjawat awam juga adalah sebahagian daripada rakyat dan mereka juga memerlukan rumah mengikut kemampuan masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pecah tanah projek berkenaan pada Jumaat.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim.

rumah lagi2

Dr Zambry berharap rumah itu dapat disiapkan mengikut tempoh yang telah ditetapkan kerana sebarang lanjutan masa, bukan sahaja meningkat kos tetapi akan memberi tekanan kepada para pembeli.

Sementara itu, Abdul Puhat di dalam ucapannya berkata, projek perumahan PPA1M Elemen @ 18 adalah usahasama dengan syarikat Utusan Variasi Sdn. Bhd dan Unit Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia, Jabatan Perdana Menteri.

Menurutnya, 360 unit apartment itu yang dijual antara RM139,000 – RM433,000, dibina di kawasan kira 20 hektar (51.40 ekar) dan dijangka siap pada 2018.

rumah lagi 4

“Harga-harga yang ditawarkan adalah setelah diberikan subsidi keseluruhan hampir RM14 juta atau purata RM38,000 untuk setiap unit rumah,” katanya.