IPOH : Polis berjaya menumpaskan sindiket pinjaman wang tidak wujud dengan tertangkapnya 13 orang, termasuk sepasang suami isteri dalam serbuan ke atas dua buah kondominium di Ipoh pada Selasa.

Semua tangkapan yang berumur antara 24 hingga 34 tahun, dipercayai bertindak sebagai pegawai bank yang akan menghubungi mangsa yang ingin membuat pinjaman peribadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak, Superintenden Hasbullah Abd Rahman berkata, sindiket itu yang dikatakan baru beroperasi seminggu, mendapatkan maklumat mangsa melalui laman sosial.

“Kebanyakan mangsa memang memerlukan pinjaman dan kebanyakkannya telah tertarik dengan tawaran pinjaman di media sosial.

“Mereka diminta untuk mengisi borang secara atas talian dan dari maklumat itu, ahli kumpulan akan mula memberi membuat pertanyaan, menawarkan pinjaman, membuat semakan kelayakan dan sebagainya.

“Daripada situlah pihak ahli sindiket ini akan meluluskan sejumlah pinjaman yang seperti yang dipohon oleh mangsa tetapi mangsa perlu membuat beberapa pembayaran terlebih dahulu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh pada Rabu.

Setakat ini, empat kes penipuan sindiket itu yang dilaporkan, melibatkan kerugian kira-kira RM50,000 dan polis percaya ada lagi mangsa yang masih belum membuat laporan.

Tangkapan itu adalah yang kedua di Perak selepas polis memberkas 11 anggota sindiket seumpama itu di Kampar pada Ogos lalu.

Hasbullah menasihatkan orang awam supaya lebih berhati-hati jika melihat iklan-iklan di media sosial berkaitan dengan pinjaman wang.

Kesemua tangkapan dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk tujuan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.