IPOH: Polis berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dan makmal mini memproses dadah bernilai hampir RM1 juta dalam dua serbuan berasingan di sekitar bandaraya ini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, dalam dua kes berasingan itu, pihaknya berjaya menahan tiga lelaki serta merampas dadah jenis ketamin, syabu dan pil Ecstasy dengan anggaran berat keseluruhan 12.49 kilogram.

Menurut beliau, serbuan pertama pada jam 3 petang, pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dalam sebuah rumah di Taman Sri Kurau, Ipoh.

“Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, polis menemui pelbagai jenis dadah yang termasuk yang disimpan dalam kereta PROTON Saga dipercayai milik lelaki terbabit.

“Polis menemui pil ekstasi (324 gram), amphetamine (2.75 kg) dan ketamin seberat 120 gram,” katanya pada sidang media di Ipoh, hari ini.

Katanya, kesemua rampasan itu bernilai hampir RM336,000.

“Kita juga temui peket-peket teh berjenama yang dalamnya diisi syabu, kita percaya hasil siasatan ia digunakan di pusat-pusat hiburan,” ujarnya.

Dalam serbuan kedua yang dijalankan di kawasan belukar berhampiran sebuah kuil di Selibin, Ipoh pada jam 4.30 hari sama polis telah, berjaya menemui sebuah makmal mini memproses dadah jenis syabu yang berselindung dibawah khemah.

Beliau berkata, ketika serbuan dibuat, dua suspek berusia 32 dan 50 tahun telah ditahan bersama-sama dengan dadah cecair jenis syabu yang bernilai anggaran RM651,000.

“Di belakang kuil itu ada belukar dan ada jalan khas yang dibina untuk ke belakang tebing. Di situ suspek telah mendirikan khemah plastik berwarna biru.

“Kedua-dua suspek itu kerja mereka memasak sahaja bahan dadah terbabit, terima bekalan daripada orang lain kemudian bekalkannya kepada orang lain, itu sahaja kerja mereka,” jelas beliau.

Tambah beliau, kedua-dua serbuan itu dibuat hasil daripada maklumat orang awam dan risikan selama tiga bulan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ipoh bersama kontinjen Perak.

Kesemua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.