IPOH : Semua syarikat pengendali pengangkutan awam, termasuk bas berhenti-henti di seluruh negara dikehendaki mengambil langkah untuk melaksanakan sistem pembayaran tanpa tunai.

Ia selaras dengan langkah kerajaan untuk mentransformasi ekonomi negara ke arah ekonomi digital.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, mana-mana pengendali pengangkutan awam yang menerima subsidi daripada kerajaan telah disyaratkan untuk menyediakan sistem pembayaran tanpa tunai.

“Kita beri tempoh kepada mereka, tak lah tempoh terlalu panjang, kita harap mereka sudah boleh menggunakan sistem ini.

“Apabila kita minta pengendali untuk melaksanakan sistem ini, ia tidak melibatkan kos yang besar dan banyak syarikat tanpa tunai ini bersedia untuk bekerjasama dengan pihak pengendali untuk sama-sama mereka melaksanakan sistem pembayaran tanpa tunai ini.

“Jadi ini sesuatu yang kita harap mesti dilaksanakan dan ini antara syarat, kalau mereka tidak laksanakan maka kita akan kaji semula subsidi kepada syarikat tersebut,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan
penggunaan sistem Touch N Go myBas yang dikendalikan Perak Transit di Terminal Meru Raya Ipoh, pada Khamis.

Menurutnya penggunaan sistem itu memberi banyak manfaat kepada pengendali dan pengguna, di samping melancarkan perjalanan bas.

MyBas yang dikendalikan Perak Transit itu menjadi perkhidmatan myBas pertama di Malaysia yang menggunakan sistem bayaran tanpa tunai.

Sementara itu, di dalam ucapannya, Anthony Loke berkata, sejak dimulakan pada 2015 di Seremban, Ipoh, Kangar dan Kuala Terengganu, kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM171 juta untuk menjayakan program myBas di empat bandar itu.