TANJUNG PIANDANG – Kerajaan pusat digesa mempertimbangkan pelaksanaan skim subsidi bersasar dengan memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan RM4,000 ke bawah dalam menerima manfaat semua barangan bersubsidi termasuk minyak bahan bakar.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pihaknya mengemukakan cadangan itu sejak 2010, namun sehingga kini kerajaan pusat masih gagal merealisasikannya meskipun mengakui idea itu bernas.

Menurutnya, apa yang berlaku ketika ini adalah perlaksanaan pemberian subsidi secara tersasar sehingga akhirnya golongan berpendapatan tinggi yang menerima manfaat subsidi jauh melebihi golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Bayangkan sekiranya perlaksanaan skim subsidi bersasar dibuat dengan betul, kerajaan pusat mampu menjimatkan kos pemberian subsidi sehingga mencecah RM20 bilion setahun.

“Saya mencadangkan rakyat berpendapatan RM4,000 ke atas wajib membeli semua barangan mengikut harga pasaran, manakala rakyat berpendapatan RM4,000 ke bawah sahaja paling layak menerima subsidi dari semua item bersubsidi termasuk minyak bahan bakar dan minyak masak,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan kepada 70 asnaf di Taman Piandang Sentosa, di sini semalam.

Hadir sama, Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menyatakan harga siling bahan api akan diumumkan setiap minggu mulai April.

Mujahid berkata, kerajaan pusat harus menyedari objektif sebenar pemberian subsidi adalah bagi meringankan beban rakyat berpendapatan sederhana dan rendah dan ianya wajar diagihkan secara adil dan saksama.

Menurutnya, data senarai penerima e-Kasih di seluruh negara wajar dijadikan asas penelitian bagi mengenal pasti anggaran lebih tepat julat pendapatan golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang layak menerima skim subsidi bersasar.

“Alternatif lain dengan mengehadkan pemberian subsidi kepada golongan berpendapatan tinggi melalui langkah kerajaan mengehadkan sendiri jumlah liter minyak petrol di subsidi bagi setiap pemilik kenderaan.

“Sebagai contoh, sekiranya had pemberian subsidi minyak bahan bakar setiap rakyat berjumlah 20 liter sebulan, maka golongan kaya pastinya tidak menerima subsidi lebih daripada golongan miskin dan sederhana kerana kadar penggunaan bahan bakar untuk kenderaan mereka yang lebih besar adalah lebih tinggi,” katanya.

Mujahid turut membidas sikap segelintir pemimpin Umno dan BN yang sering menyalahkan pembangkang dan mendakwa Pakatan Harapan hanya pandai bercakap, terutama dalam aspek pengagihan subsidi kerajaan dengan lebih efisien.

Menurutnya, Pakatan Harapan sentiasa memikirkan kaedah terbaik untuk menjaga duit rakyat dan bila cadangan sebegini ditimbulkan, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan pusat untuk meneliti idea itu.

-SinarHarian