KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah drastik terhadap pegawai dan anggota yang terbabit kegiatan salah laku dengan mengenakan tindakan tatatertib serta ditukarkan termasuk ketua polis negeri.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa pegawai dan anggota yang sudah diambil tindakan tatatertib dan dipindahkan.

“Kita serius terhadap isu salah laku membabitkan pegawai dan anggota bukan saja berkaitan judi, tetapi juga meliputi rasuah serta peras ugut terutama membabitkan ‘front liner’ (barisan hadapan) seperti bahagian trafik, jenayah dan lain-lain.

“Tindakan tatatertib dan pindah bukan saja membabitkan ketua polis daerah, malah ketua polis negeri serta ketua jabatan siasatan jenayah negeri jika didapati terbabit dengan salah laku atau gagal membendung kegiatan jenayah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, seramai 926 pegawai dan anggota PDRM dikenakan tindakan oleh Jabatan Integrasi dan Pematuhan Standard (JIPS) bagi tempoh Januari hingga Mei lalu.

“Amat mendukacitakan apabila melihat kepada statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merekodkan seramai 149 warga PDRM ditahan atas pelbagai kesalahan rasuah, tahun lalu.

“Pada tahun 2016, seramai 179 warga PDRM ditahan oleh SPRM. Walaupun jumlah ini menunjukkan penurunan, namun persepsi negatif masyarakat terhadap ketelusan PDRM,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan melaksanakan tindakan pemantauan terhadap pegawai dan anggota dengan membabitkan JIPS dalam setiap operasi serta serbuan dilakukan.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap pegawai dan anggota yang terbabit dengan salah laku dalam usaha membendung kegiatan jenayah,” katanya – berita harian