CAMERON HIGHLANDS – Jalan FT 059 laluan Simpang Pulai ke Cameron highlands berhampiran Kampung Raja ditutup susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku sekitar jam 5 petang tadi.

Difahamkan, hujan lebat di sekitar jalan itu selama beberapa jam telah menyebabkan cerun bukit di tepi jalan berkenaan runtuh dan menutupi jalan raya berkenaan.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian berkenaan sekitar jam 5 petang tadi dan menghantar enam anggota termasuk pegawai untuk melihat keadaan.

“Sampai di lokasi, benar terdapat tanah runtuh dan menutup kedua-dua arah jalan untuk ke Cameron Highlands disebabkan hujan lebat berterusan dan ikatan tanah yang lemah.

“Satu kenderaan juga telah terbabas dan tidak mengalami sebarang kecederaan, komander operasi melaporkan masih ada pegerakkan tanah berlaku dan anggota sedang melakukan pemantauan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Katanya lagi, kerja-kerja pembersihan segera sedang giat dijalankan ke atas jalan raya sepanjang 80 meter yang terkesan dengan tanah runtuh berkenaan.

Jalan raya berkenaan hanya akan dibuka semula setelah ianya dibersihkan dan setakat ini laluan alternatif untuk ke Cameron Highlands adalah melalui laluan dari Tapah.