IPOH: Laluan arah utara selepas hentian rehat Behrang ditutup sementara susulan kebakaran lori minyak di KM372, Lebuh Raya Utara Selatan pagi Sabtu.

Menurut laporan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 8.51 pagi.

Setibanya di tempat kejadian, bomba mendapati dua buah yang terlibat dalam kemalangan sedang terbakar.

Satu lori membawa muatan barang runcit manakala sebuah lagi lori tangki yang membawa muatan diesel.

Setakat ini, dipercayai satu mangsa yang terlibat meninggal dunia.

Operasi pemadaman dan menyelamat melibatkan anggota bomba dari Balai Bomba Slim River, Tapah dan Bidor.

Operasi diketuai Ketua Balai Bomba Slim River, Penolong Pegawai Bomba Mohd Azrul Azuan Norman.