Kemalangan jalanraya yang semakin kerap berlalu menimbulkan kerisauan di kalangan penduduk setempat. Bukan sekali dua, tetapi hampir setiap minggu ada kemalangan dan ada antaranya yang menyebabkan kehilangan nyawa.

Bagi kami penduduk di Mukim Lekir terutamanya, struktur jalan di Batu 6, Batu 8, Batu 10, Batu 15 dan Kampung Kayan yang tidak rata, dipenuhi batu kecil dan diburukkan lagi dengan ketiadaan lampu jalan di beberapa lokasi yang sering berlaku kemalangan.

Justeru, kami berharap jalan ini dinaik taraf memandangkan ia kerap digunakan penduduk untuk ke Seri Manjung selain menjadi laluan utama kenderaan untuk ke utara dan selatan Perak. Ia juga menjadi laluan alternatif yang kerap digunakan untuk ke Teluk Intan atau Bagan Datoh.

Selepas banyak insiden tidak diingini berlaku, sudah tiba masanya laluan itu diturap semula. Tanda amran berhati-hati juga perlu ditempatkan di lokasi tertentu memandakan kawasan berkenaan adalah salah satu lokasi kerap berlaku kemalangan. Banyak kemalangan yang berlaku turut melibatkan orang luar yang tidak biasa dengan permukaan jalan di laluan berkenaan.

Dalam kejadian terbaru Januari lalu, kemalangan buruk berlaku di Batu 10 melibatkan motosikal disebabkan keadaan struktur jalan yang tidak rata. Tidak lama selepas itu, ada kenderaan yang terbabas ke dalam longkang. Apa yang dikesali ialah aduan mengenai perkara ini sudah diajukan beberapa kali termasuk rungutan yang diluahkan penduduk di laman sosial.

Kami difahamkan, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah membuat lawatan dan meninjau keadaan di beberapa lokasi kelangan sekitar Lekir beberapa bulan lalu, namun sehingga hari ini, laluan tersebut masih belum dinaik taraf dan kemalangan masih berlaku.

Pada masa yang sama, kami berharap supaya lampu-lampu jalan ditambah terutamanya di sekitar laluan di Batu 8 yang terlalu gelap pada waktu malam selain keadaannya yang banyak selekoh tajam.

Gelagat segelintir pengguna jalan raya yang memandu laju di kawasan terbabit juga membimbangkan. Walaupun ada laluan yang lurus di jalan berkenaan, namun jika tidak berhati-hati boleh mengundang padah ekoran permukaan jalan yang licin terutamanya pada musim hujan.

Jalan ini bukan sahaja perlu dibaik pulih tetapi sikap pemandu juga harus diubah, kami tidak mahu membiarkan keadaan ini daripada terus menghantui dan kami berharap ada tindakan sewajarnya daripada pihak berwajib bagi mengatasi masalah ini daripada terus berlaku tanpa apa-apa tindakan yang ke arah penyelesaian.

Kami menghargai keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim yang mengadakan tinjauan di laluan berkenaan. Kami berharap Yang Berhormat dapat memanjangkan segera masalah ini kepada pihak berkenaan supaya tindakan susulan dapat digerakkan secepat yang mungkin.

SUHANA YUSOF

Sri Manjung