Shah Alam: Sikap pemalas dan suka mengambil jalan mudah. Itu yang berlaku di Kampung Padang Jawa, di sini, apabila segelintir penduduk memilih untuk menyeberangi landasan kereta api meskipun tindakan berkenaan boleh meragut nyawa mereka.

Tinjauan Harian Metro mendapati kawasan berkenaan dipagari tembok batu setinggi dua meter, namun ada pihak yang tidak bertanggungjawab memecahkannya untuk dijadikan laluan tikus semata-mata membolehkan mereka melintas landasan kereta api yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang itu.

Walaupun sudah ada jejantas dibina, penduduk sanggup mengabaikan keselamatan masing-masing hanya kerana malas menggunakan kemudahan disediakan itu.

Pemerhatian wartawan mendapati mereka yang melintas landasan kereta api berkenaan hanya mengambil masa kira-kira 10 saat berbanding menggunakan jejantas disediakan itu.

Seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Raja, 42, berkata, kebanyakan mereka yang menggunakan jalan pintas itu disebabkan sikap buruk masing-masing kerana beranggapan jejantas berkenaan agak tinggi dan hanya membuang masa jika menggunakannya.

“Saya selalu lihat penduduk menggunakan laluan ini ketika pergi dan pulang dari tempat kerja masing-masing.

“Walaupun ia berbahaya, mereka sanggup mengambil risiko kerana kononnya menjimatkan masa dan juga tenaga,” katanya ketika ditemui.

Katanya, penduduk yang menggunakan laluan terbabit sedar mengenai ancaman kehilangan nyawa, namun sikap mereka tetap tidak berubah.

“Saya harap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan dan kalau boleh tutup terus laluan ini kerana sudah ada yang mati disebabkannya.

“Biarlah kita menggunakan jejantas berbanding kehilangan nyawa disebabkan sikap malas diri kita sendiri,” katanya.

Dalam kejadian petang Khamis lalu, dua beradik yang sedang menyeberangi landasan kereta api itu maut di lokasi kejadian selepas dilanggar sebuah komuter yang dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang.

-myMetro