PUTRAJAYA – Tiada siapa yang boleh terlepas daripada siasatan berhubung isu projek pertukaran tanah (land swap) Kementerian Pertahanan termasuk dirinya sebagai Perdana Menteri.

Menurut Tun Dr Mahathir Mohamad, pihak berkuasa mempunyai hak dan boleh menyiasat sesiapa saja.

Malah katanya, tiada pihak di negara ini yang berada di atas undang-undang termasuk perdana menteri.

“Polis (pihak berkuasa) akan siasat perdana menteri juga, tiada sesiapa berada di atas undang-undang,” katanya kepada media selepas melancarkan myPortfolio: Panduan Kerja Sektor Awam dan Panduan Penetapan Tempoh Masa Dalam Carta Alir di Perdana Putra hari ini.

Dr Mahathir ditanya media mengenai rumusan laporan akhir Jawatankuasa Siasatan Kementerian Pertahanan berhubung projek ‘land swap’ yang menunjukkan berlakunya “pertimbangan politik melebihi kepentingan kerajaan,” termasuk ketika penggal pertama beliau sebagai Perdana Menteri.

Khamis lalu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang membentangkan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan di Dewan Negara berkata kepentingan politik berlaku dalam 13 dari 16 transaksi pertukaran tanah yang sejak tahun 1997.

Bagaimanapun, laporan itu tidak menyebut secara khususnya nama individu yang terlibat dalam aktiviti ‘land swap’ ketika itu.

Mohamad bagaimanapun menafikan penglibatan Dr Mahathir dalam kes-kes berkenaan dalam sidang akhbar susulan pada hari sama. -MalaysiaGazette