TAIPING: Keindahan landskap perlu diutama dan diberi perhatian kerana ianya merupakan manifestasi kepada sesebuah tamadun.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata landskap bukan sahaja bersifat fizikal malah ianya berkait rapat dengan jiwa manusia.

“Bukan sahaja pandangan namun pokok-pokok yang merupakan antara salah satu ciri landskap boleh memberi kesan kepada kesihatan, psikologi kita.

WhatsApp Image 2017-04-02 at 13.16.54

“Masyarakat di China, mereka gunakan bunga, pokok-pokok ini untuk mereka hilangkan tekanan dengan menanam di sekeliling bandaraya mereka,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Landskap Negara peringkat kebangsaan 2017 di Taman Tasik Kamunting pada Ahad.

Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar.

Selari dengan hakikat berkenaan, Dr Zambry mengharapkan seni bina landskap di negara ini khususnya Perak dapat dibina bukan sahaja mementingkan aspek fizikal malah turut menitik beratkan suntikan “kehidupan”.

WhatsApp Image 2017-04-02 at 13.16.57

“Aspek ini perlu disuntikkan, pembina atau jurutera perlu memikirkan bagaimana ianya boleh memberi kesan yang amat mendalam kepada masyarakat dan bukan sahaja semata-mata mengindahkan pandangan.

“Di eropah atau mana-mana negara besar mereka telah pun memulakan inisiatif ini, mereka gunakan tanaman-tanaman yang boleh memberi kesihatan kepada masyarakat khususnya dari segi psikologi,” jelas beliau.

Hari Landskap Negara merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh KPKT sejak tahun 2000 bertujuan membudayakan semangat kecintaan masyarakat terhadap landskap.