TAIPING: Gara-gara takut ditahan polis kerana pasport tamat tempoh dan tiada lesen memandu, seorang warga Indonesia melarikan diri sehingga kereta yang dipandunya melanggar beberapa kenderaan, di sini, petang Isnin.

Rudi Susanto, 39, bagaimanapun berjaya diberkas selepas terbabas di bahu jalan.

Menurut jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping, kejadian bermula kira-kira jam 6.15 petang apabila anggota polis ronda MPV ternampak sebuah kereta Proton Waja dalam keadaan yang mencurigakan di Jalan Kampung Dew.

Suspek bagaimanapun enggan berhenti apabila diarahkan berbuat demikian, sebaliknya terus melarikan diri.

Semasa melarikan diri, kenderaan suspek telah melanggar beberapa buah kenderaan sebelum terbabas di bahu jalan, berhadapan restoran nasi kandar di Jalan Kamunting.

Menurut jurucakap itu, pemeriksaan fizikal terhadap suspek, tidak menjumpai apa-apa barang salah tetapi telah menjumpai pasport yang telah tamat tempoh.

Di samping itu, katanya, suspek juga tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 186 KK dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.