CHEMOR: Seorang pelajar lelaki mendakwa dirinya ditumbuk oleh seorang anggota polis berikutan cuba lari daripada ditahan kenderaan peronda selepas melanggar lampu isyarat merah berhampiran Shell, di sini, pada awal pagi Ahad lepas.

Wong Kar Seng, 23, berkata dalam kejadian sekitar 3.40 pagi itu, beliau telah melanggar lampu isyarat merah sebelum mendapati sebuah kenderaan polis mengekorinya dipercayai untuk tujuan memberhentikannya.

Bagaimanapun, Kar Seng dalam laporan polisnya menyatakan beliau terus memecut laju sehingga ke Kanthan dan berlaku kejar-mengejar antara kenderaannya dan polis selama 15 minit.

“Saya berasa takut, terus lari ke Sungai Siput dan berhenti sebelum menyedari kereta polis berada di sebelah kanan kenderaan,”katanya dalam sidang media di Pejabat DAP di sini, hari ini.

Kar Seng berkata, selepas itu beliau menyedari bahawa beliau tidak dapat melarikan diri dan bertindak membuka pintu kereta sebelum salah seorang polis dipercayai terus menumbuk mukanya dengan menggunakan tangan kiri dan menarik dirinya keluar dari kenderaan yang dipandu.

“Polis terus menumbuk saya sebanyak tiga (kali) ditumbuk di bahagian kanan muka, dan juga menampar saya di bahagian kiri muka saya. Saya dibawa ke Balai Polis Chemor, dan salah seorang polis memaklumkan saya kebelakangan ini ada berlaku kes dadah di Cehmor dan saya disyaki dalang kes dadah tersebut,”katanya dalam laporan polis tersebut.

Menurutnya, selepas itu salah seorang anggota polis telah menggeledah kenderaannya dan tidak menjumpai apa-apa sebelum bertindak memberikan Kar Seng saman.

“Saya diberi saman kerana telah melanggari undang-undang lalulintas, iaitu tidak berhenti di lampu isyarat merah,”katanya sambil memberitahu ingin tahu sebab utama kekerasan tersebut dilakukan terhadapnya.

Turut hadir, Pengarah Biro Pengaduan Awam merangkap ADUN Menglembu, Steven Chaw Kam Foon.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superitendan Rozemi Ismail ketika dihubungi Astro Awani mengesahkan laporan tersebut.

“Kami telah memanggil pelajar tersebut bagi tujuan keterangan lanjut dan akan menyiasat secara teliti perkara ini , buat masa ini kami akan memaklumkan sebarang perkembangan dari masa ke masa,”ujarnya lagi.