SITIAWAN: Seorang lelaki maut dipercayai mangsa langgar lari di Kilometer 59 Jalan Ipoh – Sitiawan di sini pada malam Ahad.

Pegawai Turus Trafik Negeri Perak, Deputi Superintendan Mohd Mahiri Hussin berkata, dalam insiden jam 11.25 malam itu, R Lingam, 54, maut di tempat kejadian.

“Mangsa dipercayai melintas jalan sebelum dilanggar oleh sebuah kenderaan yang tidak dapat dipastikan jenisnya yang bergerak dari arah Ipoh ke Sitiawan,” katanya.

Mohd Mahiri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sehingga kini tiada saksi tampil untuk membantu siasatan.