IPOH: Langkah kerajaan negeri Perak menutup Taman Negeri Pulau Sembilan kepada para pelancong adalah keputusan tepat bagi melindungi alam semula jadi di pulau berkenaan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Taman Negeri Pulau Sembilan adalah merupakan khazanah negeri yang unik dan istimewa yang perlu dilindungi.

Titah baginda, kini keindahannya terancam akibat perbuatan para pengusaha yang tidak menghormati peraturan dan kawalan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Kerajaan Beta telah mengambil keputusan yang tepat menutup taman tersebut kepada para pelancong sehingga digubal dan diperkenalkan langkah-langkah lebih mantap untuk melindungi eko sistem dan bio diversiti di kawasan berkenaan,” titah baginda semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Negeri Ke – 13 Perak Darul Ridzuan.

Sultan Nazrin turut menyentuh Masjid Ubudiah yang disenaraikan di tempat keempat di kalangan lima masjid yang tercantik dan menakjubkan di dunia di samping Masjid Abu Al-Abbas al Mursi di Alexandria, Masjid Kul Sharif di Kazan Russia, Masjid Biru di Istanbul dan Masjid Sheikh Zahid di Emieriah Arab Bersatu.

“Masjid Ubudiah hendaklah dilindungi dalam keaslian yang dapat dipertahankan sebagai satu warisan, saiz dan reka bentuknya hendaklah dikekalkan dan sama sekali tidak diusik untuk tujuan membesarkannya hingga boleh merosakkan keindahan asalnya,” titah baginda.