TAIPING: Mahkamah Majistret Taiping hari ini melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap sembilan remaja selama enam hari lagi, bagi membantu siasatan berhubung kes pelajar 13 tahun yang dirogol bergilir-gilir, baru-baru ini.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Taiping Noraisah Ahmad.

Terdahulu kesemua suspek tiba di Mahkamah Majistret Taiping kira-kira jam 8.30 pagi, diiringi anggota polis.

Kelihatan beberapa individu dipercayai ahli keluarga suspek menunggu di pekarangan mahkamah sebaik saja mereka keluar dari kenderaan polis.

Kesemua suspek direman mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, kesemua suspek yang berumur 15 hingga 17 tahun itu ditahan di Taiping dan Kamunting, susulan laporan polis dibuat bapa mangsa di Balai Polis Kamunting.

Ia berkaitan dengan kes seorang remaja perempuan 13 tahun dipercayai dirogol bergilir-gilir di Kampung Kurnia Jaya, Kamunting dan Taman Tekkah Permai, Aulong sejak 18 hingga 25 September lalu.

Kejadian pertama berlaku pada 18 September lalu apabila mangsa bersama rakannya dijemput suspek ke sebuah rumah di Kampung Kurnia Jaya dengan menaiki motosikal sebelum dirogol empat lelaki.

Kejadian kedua berlaku keesokan harinya membabitkan lapan lelaki di lokasi sama.

Polis kini sedang mengesan dua lagi suspek yang masih bebas untuk membantu siasatan.