KUALA LUMPUR : Tun Dr Mahathir menyifatkan cadangan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Menteri Tugas Khas adalah pandangan peribadi Penasihat Komunikasi dan Media kepada Perdana Menteri, Datuk Abdul Kadir Jasin.

Perdana Menteri berkata, beliau bagaimanapun tidak semestinya akan bersetuju dengan semua cadangan dikemukakan mana-mana pihak mengenai rombakan Kabinet.

“Itu (cadangan melantik Anwar sebagai Menteri Tugas Khas) pendapat dia, di Malaysia ini kita bebas bersuara dan sesiapa pun boleh buat apa-apa cadangan.

“Saya dengar semua orang punya cakap, tak semuanya kita setuju. Cadangan mengenai rombakan Kabinet ini adalah seiring dengan kebebasan bersuara dan boleh bertanya apa-apa sahaja mengenainya.

“Tetapi, sama ada saya mahu memberi maklum balas atau tidak, itu adalah keputusan saya dan hanya saya yang tahu,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Semalam, Abdul Kadir dilapor mencadangkan supaya Anwar dilantik sebagai Menteri Tugas Khas susulan keputusan Dr Mahathir mahu merombak Kabinet susulan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir menjelaskan beliau tidak maklum berkenaan perjumpaan hampir 400 orang termasuk bekas ahli kumpulan pengganas Parti Komunis Malaya (PKM), kelmarin.

Perjumpaan pada jam 10.15 pagi itu dikatakan sebagai memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan PKM, pada 2 Disember 1989.

Perjumpaan di sebuah dewan di Kajang, Selangor yang dihadiri bekas ahli PKM berusia antara 60 hingga 80 tahun itu juga didakwa bertujuan memperkukuhkan kembali perkenalan mereka.

“Saya tak tahu apa-apa pun, ini dia (PKM) punya masalah dan mesyuarat. Kebiasaannya kita tak ambil tahu pun. Awak (pengamal media) tahu apa? Bagilah tahu sikit kerana media lebih tahu daripada saya.

“Saya pun tak tahu apa dia berjumpa. Saya ada baca surat khabar la tetapi saya baru balik dari Korea. Kalau tanya pasal Korea saya boleh jawab,” katanya yang juga Ahli Parlimen Langkawi.