IPOH: Kerajaan negeri meminta wakil golongan belia dilantik menganggotai jawatankuasa masjid kerana mereka mampu memberi sumbangan idea bagi melaksanakan pelbagai aktiviti bagi mengimarakkan lagi masjid.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, kerajaan negeri amat menghargai anak muda kerana mereka merupakan aset penting masa depan negara.

Menurut beliau, sebagai aset masa depan, golongan belia perlu bergerak aktif sebagai kerana mereka adalah penentu masa depan negeri dan negara kita.

“Inspirasi setiap jenjang umur perlu ada, apatah lagi generasi belia masa ini perlu bergiat aktif sebagai penggerak,” katanya kepada Suara Perak selepas mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir merasmikan Ummatic Festival Street Dakwah 2017 dan Kelab Belia Al – Fateh di Masjid Muhammad Al – Fateh, Taman Jati dekat sini, pada malam Sabtu.

WhatsApp Image 2017-04-30 at 13.28.10

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Ziad Mohd Zainal Abidin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Drs Nizar berkata, kerajaan negeri amat mengalu-alukan usaha penubuhan kelab-kelab belia masjid kerana ia mampu membimbing golongan tersebut daripada terjerumus kepada aktiviti yang menyalahi undang-undang dan ajaran agama.

“Maknanya, dengan kelab-kelab seumpama ini, kegiatan anak-anak muda lebih terpimpin dan terarah, tidak melencong kepada aktiviti yang melampau seperti ekstremis agama dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau menambah, penubuhan kelab-kelab seumpama itu juga selaras dengan pelbagai program yang dilaksanakan melalui Rakan Masjid dan Fit Masjid yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan.

Sementara itu, Mohd Ziad di dalam ucapannya berkata, idea untuk menganjurkan Ummatic Festival dicetuskan sendiri oleh anak muda di sekitar Meru yang mahu aktiviti yang boleh membentuk kerohanian yang baik.

Menurut beliau, setakat ini, terdapat hampir 50 belia di sekitar kariah Masjid Taman Jati telah mendaftar sebagai ahli Kelab Belia Al – Fateh dan bilangan itu dijangka terus meningkat di masa-masa akan datang.

Dalam pada itu, pelbagai aktiviti diadakan sempena karnival tiga hari itu yang bermula Jumaat, antaranya senamrobik, fit masjid, street soccer, motocross demontrasi CSR hammam, qiamullail, pameran dan jualan.