IPOH: Bekas Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berharap agar jawatan Datuk Bandar Ipoh yang masih kosong sejak beberapa bulan lalu dapat diisi segera.

Datuk Bandar kelapan itu berkata, berdasarkan pengalamannya dalam perkhidmatan awam selama 38 tahun, peneraju pihak berkuasa tempatan (PBT) sangat penting kerana ia merupakan pencetus kepada pembangunan sesebuah perbandaran.

“Dalam konteks Ipoh, maka Datuk Bandar merupakan individu yang penting untuk menentukan kemantapan pembangunan ke arah merealisasikan apa juga hasrat yang didasarkan kerajaan memerintah.

“Jadi bagi saya, Datuk Bandar adalah jawatan yang tidak boleh dikosongkan lama kerana kuasa-kuasa yang ada pada beliau dan dia juga merupakan penghubung antara rakyat atau pembayar-pembayar cukai dengan kerajaan,”
katanya kepada pemberita di majlis rumah terbuka beliau di sini, malam tadi.

Roshidi yang menjadi Datuk Bandar Ipoh dari 2007 hingga 2014 berkata, kelewatan pelantikan jawatan itu belum pernah berlaku sebelum ini.

“Tetapi mungkin atas sebab-sebab tertentu, kerajaan negeri hendak membuat saringan yang baik untuk menentukan bahawa Datuk Bandar ini boleh menentukan mereka dalam merealisasikan pembangunan Ipoh,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu mencari pendekatan lain bagi memastikan perjalanan Majlis Bandaraya Ipoh terus lancar.

“Dibawah peruntukan undang-undang sedia ada saya yakin mereka telah membuat terbaik dengan menurunkan kuasa kepada Setiausaha MBI buat sementara waktu sehinggalah pelantikan Datuk Bandar dibuat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap penerajui MBI itu dapat melaporkan diri Julai ini untuk memberi khidmat terbaik, seperti yang dijanjikan kerajaan negeri.