KUALA TERENGGANU: Sindiket ‘lanun rimba’ di daerah Besut dilihat semakin agresif apabila dilaporkan berani mengasari pegawai Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) dalam Operasi Raya 3 di FELDA Selasih, Jertih.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin, sekumpulan pegawai penguat kuasa JPNT dilaporkan berdepan dua situasi getir apabila kenderaan pacuan empat roda (4WD) dinaiki mereka dirempuh jentolak dipercayai dipandu ahli kumpulan sindiket lanun rimba terbabit.

Sumber berkata, ketika kejadian pasukan penguat kuasa JPNT terbabit dalam perjalanan ke lokasi serbuan apabila mendapat maklumat berhubung kegiatan rompakan kayu balak di Hutan Simpan Gunung Tebu.

Bagaimanapun, katanya, sebaik pasukan terbabit tiba di FELDA Selasih, mereka terserempak dengan sebuah jentolak dipercayai digunakan sindiket untuk mengalihkan kayu balak ditebang.

“Menyedari kehadiran pegawai JPNT di lokasi, pemandu jentolak terbabit bertindak agresif apabila merempuh bahagian depan 4WD dinaiki pasukan penguat kuasa itu sebelum melarikan diri.

“Kejadian itu tidak berakhir di situ, ketika pasukan penguat kuasa berkenaan dalam proses untuk menyita jentolak terbabit, mereka sekali lagi diancam apabila jentolak disita itu dibakar ahli kumpulan sindiket terbabit sebelum sekali lagi meninggalkan lokasi,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Difahamkan, tindakan pantas pasukan serbuan yang menyedari cubaan merosakkan jentolak terbabit berjaya memadamkan kebakaran sebelum membawanya ke depoh sitaan bagi meneruskan siasatan mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 kerana mengambil hasil hutan tanpa kebenaran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu berkata, pihaknya sudah mengenalpasti dua lelaki dipercayai ahli kumpulan sindiket pembalakan haram berusia 30-an terbabit.

“Kedua-dua suspek warga tempatan itu kini sedang diburu pihak polis untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya – berita harian