IPOH- Lembaga Air Perak telah memberhentikan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Ayer Ganda, Gerik pada 9 April sebagaimana arahan yang dikeluarkan oleh pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menurut kenyataan dari pengurusan LAP, susulan itu pihaknya akan membekalkan air terawat kepada lebih 1,000 penduduk kampung Ayer Ganda menerusi lori tangki dan tangki statik.

Sementara itu, paip sepanjang 11.5 kilometer dan pam penggalak akan dibina untuk menyalurkan air terawat daripada LRA Lawin ke Kampung Ayer Ganda bagi penyelesaian jangka panjang.

“Pihak LAP sentiasa memastikan kualiti air terawat yang dibekalkan kepada pengguna adalah selamat untuk digunakan.

“Hasil ujian contoh air yang dijalankan ke atas sampel air di LRA Ayer Ganda menunjukkan paras arsenik adalah rendah dan di bawah piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu jurang dariapda 0.01 miligram untuk setiap liter.

“Walaubagaimanapun, LAP menghormati dan akur dengan keputusan SPAN supaya operasi LRA Ayer Ganda ditutup,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, SPAN kesal dengan tindakan LRA Sungai Ganda yang terus beroperasi walaupun terjejas dengan pencemaran arsenik.

Pengerusi SPAN, Charles Santiago berkata, Kementerian Kesihatan mula mengesan pencemaran itu pada 8 Januari lalu, sebelum arahan dikeluarkan kepada LAP pada 14 Januari untuk menutup LRA berkenaan jika operator air negeri itu gagal mengatasinya.