IPOH: Lembaga Air Perak (LAP) menjadi badan berkanun negeri yang pertama di Malaysia menerima anugerah Sijil Pematuhan Sistem Perakauan Standard Bagi Agensi Kerajaan (SAGA) 2017, daripada Jabatan Akauntan Negara, baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, majlis penyerahan anugerah itu disampaikan dalam satu majlis di Pulau Pinang pada 22 November lalu.

Menurut beliau, SAGA adalah sistem perakaunan kerajaan yang diperkenalkan oleh Jabatan Akauntan Negara dan memenuhi keperluan prinsip perakaunan semasa (GAAP).

“LAP berjaya menguruskan akaun dan juga tidak berada di dalam keadaan hutang yang serius serta pengurusan kewangan yang baik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah LAP di sini, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar LAP, Datuk Ir Mohd Yusof Mohd Isa.

Dr Zambry memberitahu, sebelum ini, LAP juga menjadi pihak pengurusan air terbaik di negara ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga 28 November lalu, LAP telah memberi subsidi air 20 meter padu kepada 11,502 rakyat miskin di negeri ini di samping subsidi kepada 1,953 rumah ibadat.

“Kita akan lihat, sekiranya ada keperluan untuk membuat tambahan, berdasarkan kepada penilaian yang dibuat di setiap kawasan, kita akan pertimbangkan,” ujar beliau.

Di samping itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada LAP kerana telah mengambil bahagian secara aktif di dalam Program Permukiman Menteri Besar dengan pelaksanaan 33 projek yang memberi manfaat kepada 166 buah rumah dan sebuah sekolah agama.