IPOH – Lembaga Air Perak (LAP) tidak melaksanakan kenaikan tarif air lebih 10 tahun lalu tetapi masih berupaya mencatat keuntungan tinggi saban tahun, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dr Zambry yang juga Pengerusi LAP berkata tariff air bukanlah faktor utama yang menyumbang kepada keuntungan berlipat ganda yang direkodkan LAP selama ini.

Sebaliknya kata beliau keuntungan badan pengurusan air negeri itu adalah hasil daripada pengurusan air yang cekap sehingga membolehkan ia menjana hasil memberangsangkan.

“Kita (LAP) tidak pernah naikkan tarif air setiap tahun, kali terakhir pada tahun 2006 itu sahaja… tiada niat pun hendak naikkan.

“Tapi masih ada yang mengatakan seolah-olah kita naikkan tarif maka dari situlah datangnya keuntungan besar. Sebetulnya LAP berjaya mencatatkan keuntungan menerusi perancangan jangka panjang yang sistematik dan kerjasama dalam pasukan yang diamalkan dalam organisasi ini,” katanya.

Pada 2017, LAP mencatat keuntungan sebelum cukai lebih tinggi iaitu RM91.67juta dengan kenaikkan sebanyak RM0.83juta berbanding RM90.84 juta pada tahun 2016.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Air Perak di sini pada Jumaat.

Turut sama, Pengerusi Jawatankuasa Pengurus Besar LAP, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan Pengurus Besar LAP, Datuk Mohd Yusof Mohd Isa.

Dalam pada itu, Menteri Besar menyangkal dakwaan kononnya beliau berbangga menceritakan tentang keuntungan dalam pengurusan air LAP tetapi menyeksakan pengguna.

Tegas beliau sebahagian keuntungan yang dijana LAP sentiasa dipulangkan kembali kepada rakyat menerusi pelbagai pendekatan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Kalau ada yang mengatakan seolah-olah kita seronok dengan menceritakan tentang keuntungan tetapi menyeksa pengguna itu adalah tidak benar, kerana LAP meneruskan tradisi dengan membantu rakyat dengan pembayaran zakat dan subsidi.

“Kita membela golongan miskin dengan CSR dan sedekah, jangan ada tanggapan bahawsa kita hanya bergantung dengan pencapaian beratus-ratus juta,” katanya.

Terdahulu, beliau menjelaskan sehingga 31 Disember 2017 LAP mencatat jualan air sebanyak RM 335.04 juta berbanding RM 336.16 juta bagi tempoh sama pada tahun 2016.

Ujarnya penurunan sebanyak RM 1.87 juta itu selari dengan penurunan penggunaan air dengan 335.46 juta meter padu sehingga 31 Disember 2016 kepada 333.52 juta meter padu pada 31 Disember 2017.

Bagi bantuan subsidi rumah ibadat yang dilancarkan sejak tahun 2013, sebanyak 1951 buah rumah ibadat yang berdaftar secara sah menerima subsidi khas pada kadar 57 sen semeter padu.