LEMBAGA Air Perak (LAP) mengulangi pendirian untuk mengurangkan perbelanjaan penajaan kepada pasukan Perak walaupun mereka berjaya memenangi Piala Malaysia pada musim ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, penajaan masih diteruskan pada musim hadapan dan perbincangan lanjut mengenai perkara tersebut akan dibuat dalam mesyuarat Lembaga Pengarah LAP pada 6 Disember ini.

Menurutnya, biarpun The Bos Gaurus itu memerlukan perbelanjaan yang lebih pada musim hadapan kerana berdepan kemungkinan bermain di Kejohanan Bola Sepak Liga Juara-Juara Asia (ACL), pasukan itu perlu mencari penaja-penaja lain untuk membantu.

“Kita sedar bahawa sukan bola sepak ini merupakan sukan yang diminati ramai dan sesuai dengan kejayaan Perak memenangi Piala Malaysia dan akan mewakili negara di dalam ACL. Ia sudah pasti memerlukan perbelanjaan yang lebih daripada musim sebelum ini.

“Kita akan kaji apa juga tajaan dan kita akan pastikan ia tidak membebankan LAP,” katanya yang juga Menteri Besar Perak kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Air Perak kali ke-15 di Bangunan Lembaga Air Perak (LAP) di sini.

Hadir sama pada mesyuarat itu, Presiden Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda; Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Air Perak, Zainal Ismail dan Pengurus Besar LAP, Datuk Mohd Yusuf Mohd Isa.

Sebelum ini, Ahmad Faizal menjelaskan pihaknya tiada cadangan untuk menarik semula tajaan, hanya akan mengurangkan beban penajaan itu melalui kerjasama dengan syarikat swasta dan korporat.

Pada 27 Oktober lalu, Perak berjaya menamatkan penantian selama 18 tahun untuk muncul selaku juara Piala Malaysia 2018 selepas menumpaskan Terengganu FC (TFC) menerusi penentuan penalti 4-1 selepas kedudukan terikat 3-3 dalam aksi pentas final di Stadium Shah Alam.

Pada musim 2018, LAP merupakan penaja utama pasukan bola sepak Perak manakala beberapa syarikat milik kerajaan negeri turut menjadi penaja pasukan tersebut – sinar