SLIM RIVER: Lembaga Air Perak (LAP) melaksanakan dua projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena program Permukiman Menteri Besar di Daerah Muallim.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, dua projek itu ialah pemasangan paip UPVC PN 12 berukuran 100 mm sepanjang 300 meter di Kg Ulu Slim dan paip yang sama sepanjang 250 meter di Kg Pasir, Ulu Slim.

Menurut beliau, cadangan dua projek itu telah dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Datuk Rusnah Kasim bagi menyelesaikan masalah penduduk di kawasan berkenaan yang masih belum mendapat sumber bekalan air LAP.
LAP-2projek 5

“Setelah itu, Pengurus Besar LAP, Datuk Ir Mohd Yusof Mat Isa telah mengamanahkan anggota 60 Rejimen Skuadron Negeri Perak di wilayah barat supaya melaksanakan projek-projek berkenaan,” katanya kepada Suara Perak.

Zainol berkata, di Kg Ulu Slim, projek pemasangan paip retikulasi itu adalah bagi lima buah rumah di situ kerana terletak jauh daripada paip retikulasi sedia ada LAP.
Menurut beliau, projek tersebut melibatkan kos kira-kira RM20,000.

Beliau menambah, bagi projek di Kg Pasir pula, ia melibatkan empat buah rumah yang terletak jauh daripada paip retikulasi sedia ada LAP dengan kos kira-kira RM30,000.

“Kedua-dua projek CSR ini melibatkan kos keseluruhan RM52,000 yang berjaya disiapkan dalam masa enam hari, bermula 6 Julai lalu,” ujarnya.