IPOH – Lembaga Air Perak (LAP) menyediakan pelan kecemasan untuk memastikan bekalan air bersih dapat dibekalkan secara berterusan kepada pengguna sempena sambutan Aidilfitri.

Menurut kenyataan LAP, pelan kontingensi itu merangkumi pelan tindakan sekiranya berlaku keadaan bekalan air di luar kawalan dengan jangkaan permintaan di luar bandar akan meningkat.

“LAP akan sentiasa memantau sistem bekalan air serta memastikan loji rawatan air beroperasi dengan baik.

“Permintaan bekalan air di kawasan luar bandar dijangka meningkat disebabkan ramai yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri,” demikian menurut kenyataan LAP di sini hari ini.

LAP menasihati pengguna agar menggunakan air secara berhemat serta mengelakkan pembaziran.

Sebarang maklumat mengenai status bekalan air boleh diperoleh melalui laman sesawang www.lap.com.my; Twitter @laptwitts; Facebook Lembaga Air Perak ADMIN atau menghubungi talian pusat aduan 15353/1800887788. – Bernama