BIDOR: Permukiman Menteri Besar di Daerah Batang Padang dan Kampar memberi rahmat kepada penduduk Kg Serentang Lama di sini apabila Lembaga Air Perak (LAP) berjaya menyelesaikan masalah yang mereka hadapi sejak bertahun-tahun lalu.

Sejak sekian lama saluran paip ke tujuh buah rumah di kampung itu terpaksa melalui tanah orang lain sehingga menyukarkan pemilik tanah membuat binaan atau bercucuk tanam.

Tambahan pula, kedudukan rumah mereka yang jauh daripada jalan besar menyebabkan tekanan air yang rendah dan sering berlaku kebocoran.

8bc8e9b1-01ca-4e95-8243-1024965f06b8

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, prihatin dengan masalah penduduk, LAP melaksanakan projek membekal dan memasang paip utama serta pindah ‘tapping’ untuk tujuh buah rumah itu.

Menurut beliau, projek itu melibatkan kerja-kerja pemasangan paip UPVC PN 12 bersaiz 100 mm sepanjang 180 meter yang turut dilengkapi dengan S-bend dan pili bomba.

“Walaupun kosnya hampir RM24,000 tetapi sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan, LAP menanggung keseluruhan kos tersebut sebagai satu lagi program tanggungjawab sosial korporat atau CSR,” katanya kepada Suara Perak selepas merasmikan projek itu di Lorong Loko kampung berkenaan pada Rabu.

Hadir sama Pengurus Wilayah LAP Wilayah Selatan, Ir. Lokman Abd Rahim dan Penghulu Mukim Bidor, Ruzain Ramli.

Zainol berkata, LAP bukan hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata tetapi turut memulangkan semula keuntungan itu kepada rakyat dalam bentuk CSR seperti baik pulih atau bina rumah golongan yang memerlukan, subsidi air, bantuan kotak makanan di samping bayaran zakat.