IPOH: Polis Perak mengesahkan lapan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera dalam insiden letupan sebuah bot di Jeti Pangkalan Polis Marin di Kampung Acheh, Sitiawan, dekat sini hari ini.

Menurut Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Pahlawan Hasnan Hassan, siasatan awal mendapati letupan itu berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi semasa anggota polis menghidupkan enjin bot tersebut.

Katanya, letupan itu berpunca daripada kerosakan enjin bot dan tiada bahan letupan lain yang terlibat dalam insiden itu.

Menurut beliau, semasa kejadian, kesemua lapan anggota dari PGA Ulu Kinta itu sedang menjalani latihan rutin di Pengkalan Marin, Kampung Acheh, Manjung Perak.

“Kesemua mereka yang mengalami kecederaan telah menerima rawatan di Hospital Daerah Seri Manjung dan mereka kini berada dalam keadaan stabil,’’ katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, pada Isnin.

Hasnan berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan punca enjin bot berkenaan meletup.