TELUK INTAN: Lapan buah kereta dari pelbagai jenis musnah dalam kebakaran bengkel di Jalan Maharajalela, di sini, pagi ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, pihaknya menerima pangilan mengenai kejadian itu pada 5.16 pagi.

Katanya, lapan buah kereta itu musnah 90 peratus tetapi tiada mangsa terlibat.

“Anggota menggunakan dua aliran ‘hose reel’ bersumberkan air dari pili bomba sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya di sini.

Operasi yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Azroisan Wahab tamat jam 6.25 pagi.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.