HUTAN MELINTANG: Penangkapan lapan individu, termasuk dua yang merekrut banduan di Penjara Tapah untuk menjadi militan adalah kerana terdapat unsur untuk mencetuskan kegelisahan sosial di kalangan rakyat pelbagai agama di negara ini.

Tindakan mereka juga mahu menggambarkan seolah-olah malaysia sebagai sebuah negara yang tidak mengamalkan kebebasan beragama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penangkapan itu adalah tindakan susulan pihak polis untuk membenteras elemen keganasan di negara ini yang masih memerlukan keprihatinan pihak berkuasa.

“Ini adalah kerana terdapat unsur-unsur yang mahu mengujudkan kegelisahan sosial rakyat pelbagai agama.

“Ini termasuk terdapat kumpulan yang mahu memporak-perandakan keharmonian beragama di negara kita dengan mahu membakar dan merosakkan rumah-rumah ibadat, samada masjid, kuil, tokong atau gereja.

“Ini bertujuan untuk memberikan gambaran bahawa malaysia adalah sebuah negara yang tidak mengamalkan kebebasan beragama dan ini harus ditangani,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan sempena Deepavali kepada 800 masyarakat miskin kaum India di Dewan JKKK, di sini pada Ahad.

Ketua polis negara, tan sri mohamd fuzi harun dalam satu kenyataan semalam memberitahu, polis diraja malaysia berjaya menggalkan cubaan merekrut banduan di penjara tapah untuk menjadi militan selepas menahan dua bekas tahanan penjara itu.

Mereka disyaki merekrut banduan untuk melancarkan serangan ke atas rumah ibadat orang Islam, Kristian dan Hindu bagi mencetuskan konflik antara kaum di negara ini.