BRINCHANG: Sebanyak lapan buah kedai perniagaan di Kea Farm hangus dijilat api dalam satu kejadian kebakaran di Jalan Kg Raja-Brinchang pada awal pagi Jumaat.

Difahamkan, kebakaran yang berlaku di kawasan tumpuan pelancong sekitar 12 tengah malam itu turut melibatkan kedai-kedai cenderamata dan kedai menjual sayur serta sebuah restoran terletak di deretan kedai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Hasadid A.Hamid bagaimanapun berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan kerana tiada penghuni berada di dalam bangunan kayu sewaktu kejadian berlaku.

“Kami menerima panggilan sekitar 12.55 pagi mengenai kebakaran daripada orang awam dan kami telah menghubungi pihak bomba…mereka tiba kira-kira 1.10 pagi untuk operasi pemadaman.

“Siasatan lanjut mendapati semua kedai yang terlibat dalam deretan kedai Kea Farm itu antaranya menjual sayur, pakaian, cenderahati dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highland, Muhamad Haziq Hazmi berkata, pihakya telah mengerahkan tujuh pegawai dan anggota bomba ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada MERS.

Menurutnya, mereka menggunakan pelbagai jentera termasuk jentera air, kenderaan pacuan empat roda dan unit Fire Rescue Tender (FRT) untuk operasi pemadaman kebakaran tersebut.

“Mujur, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan pasukan BBP kami terpaksa mengambil lebih daripada tiga jam untuk mengawal kebakaran dan mengelakkan api daripada merebak.

“Buat masa ini, kerugian dianggarkan mencecah RM500,000 dan kerja-kerja siasatan berkenaan punca kebakaran masih dilakukan dan akan berjalan selama 14 hari,” ujarnya.

Haziq berkata berikutan tindakan pantas daripada pihak bomba, sebanyak 40 buah kedai lain yang berada dalam kawasan perniagaan Kea Farm berjaya diselamatkan.