GEORGETOWN: Lapan kenderaan termasuk lori tunda dan Toyota Hilux polis bantuan terbabit dalam kemalangan di Kilometer 5.4 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Prai, dekat sini hari ini.

Kejadian berlaku pada 3.35 pagi itu bagaimanapun tidak membabitkan kehilangan nyawa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah lori menukar haluan dari lorong tengah ke lorong kanan secara tiba-tiba.

Menurutnya, tindakan pemandu lori terbabit membuatkan dua pemandu kereta dibelakangnya tidak sempat mengelak dan merempuh lori berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar. – Foto Mikail Ong
“Kira-kira 10 minit kemudian, polis bantuan yang menaiki Toyota Hilux dan pemandu lori tunda tiba di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, belum sempat memberi bantuan, sebuah kereta merempuh Toyota Hilux dan lori tunda berkenaan,” katanya.

Dua lagi kereta turut terbabit dalam kemalangan itu kerana tidak sempat mengelak.

Anuar berkata, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan – berita harian