KIJAL – Lapan pesakit dan kakitangan Klinik Kesihatan Kijal nyaris maut selepas terperangkap di dalam asap tebal setelah klinik itu terbakar, semalam.

Kejadian jam 9 pagi itu menyebabkan dua mangsa mengalami kecederaan parah manakala enam lagi mengalami sesak nafas akibat terhidu asap tebal.

Bagaimanapun, kepantasan kakitangan klinik itu bertindak dan melakukan pemadaman segera serta kecekapan Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kijal berjaya membolehkan kesemua mangsa segera dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan.

Sepasukan lapan pegawai dan anggota BBP Kijal yang segera bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 9.10 pagi berjaya memadamkan kebakaran itu dalam tempoh setengah jam

Kebakaran yang bermula dari Klinik Rawatan Metadom itu disyaki berlaku akibat kejadian litar pintas sehingga api merebak dengan cepat.

Namun, insiden berkenaan bukanlah kejadian sebenar sebaliknya satu simulasi latihan kebakaran dianjurkan Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (KPAS) Pejabat Kesihatan Kemaman.

Simulasi itu dijalankan dengan kerjasama pihak bomba, Klinik Kesihatan Kijal, Klinik Kesihatan Kemasik, Klinik Pergigian Daerah dan Hospital Kemaman yang melibatkan hampir 50 peserta.

Pegawai Bomba dan Penyelamat Kanan BBP Kijal, Kamarudin Muhamad berkata, pihaknya berpuas hati dengan inisiatif yang dibuat pihak kesihatan dalam latihan berkenaan kerana ia dijalankan mengikut realiti sebenar seterusnya memberi pendedahan terutama dalam mengawal suasana panik anggota dan pelanggan klinik semasa berlaku kebakaran.

“Kesemua anggota termasuk pelanggan klinik dapat dikawal dengan teratur dan dikumpulkan dengan selamat di tempat berkumpul.

“Selain itu kesemua peserta juga didedahkan penggunaan alat pemadam dan cara memadam api yang betul melalui latihan kebakaran ini,” katanya.

Sementara itu, menurut Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr Mohd Anuar Abd Rahman, kesemua fasiliti kesihatan telah diaudit bulan lepas oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pejabat Kesihatan dengan kerjasama pihak bomba.

“Langkah-langkah keselamatan yang disyorkan oleh pihak bomba telah diambil tindakan dan dipatuhi,” katanya.

-Sinarharian