IPOH – Lapan sekeluarga nyaris rentung apabila ruang tamu rumah mereka terbakar di Jalan Labrooy, Taman Merdeka di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, dua adik beradik perempuan berusia lima dan sembilan tahun melecur pada bahagian pipi manakala empat ahli keluarga lain mengalami sesak nafas.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Mangsa yang melecur, Nur Fazanah Muhamed Rafie, 9, dan Dhia Qistina Muhamed Rafie, 5, cucu pemilik rumah, Mohd Ali Abdul Kadir, 65, dan Julina Bee Mohamed Hussain, 60, yang turut menghuni rumah itu.

Turut berada ketika kejadian, ibu bapa mangsa, Fairun Bee Mohd Ali dan Muhamed Rafie Kather Bacha, 38; kakak dan adik mangsa, Nur Afiqah Muhamed Rafie, 11, dan Dhia Aqilah Muhamed Rafie, 2.

Menurut ibu saudara mangsa, Saedah Mat Saman, 43, ketika kejadian keluarga itu sedang tidur di bilik masing-masing.

Menurutnya, adik ipar memberitahu dia melihat cahaya dari bawah pintu bilik, suaminya pula terbau asap.

“Mereka nampak percikan api di kotak fius utama di ruang tamu. Mereka kejutkan ahli keluarga lain untuk selamatkan diri. Jiran bantu pecahkan pintu belakang.

“Sebab asap tebal, seorang anak saudara saya tak nampak ahli keluarganya. Dia keluar ikut pintu belakang dan diselamatkan bomba. Pipinya melecur,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, P Samasuvam berkata, pasukan mereka bersama BBP Meru Raya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 2.11 pagi.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, api marak di ruang tamu dan seorang kanak-kanak perempuan diselamatkan anggota melalui pintu hadapan.

Katanya, kebakaran rumah kelas A itu musnah kira-kira 40 peratus di bahagian ruang tamu.

“Operasi tamat pada jam 3.16 pagi. Punca kejadian dan anggaran kerugian masih disiasat,” katanya.

-SinarHarian