Oleh: Aida Aziz

IPOH: Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) memperkenalkan lapan pemain baharu dalam skuad The Bos Gaurus (TBG) bagi saingan Liga Super 2018.

Dalam pada itu , PAFA turut mengekalkan 12 pemain asal yang terdiri daripada empat pemain kebangsaan.

Antara barisan pemain yang bakal berentap dalam pasukan itu pada musim hadapan ialah, Brendan Gan, Nor Hakim Hassan, Muhammad Syazwan Zaipol Bahari, Rafiuddin Roddin, Muhamad Rizal Che Aziz, Muhammad Rafiq Faeez Muhammad Fuad, Khairul Asyraf Sahizah dan Muhammad Nasrullah Abdul Aziz.

Sementara itu, Presiden PAFA, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, berkata pasukan tersebut turut mengekalkan khidmat dua pemain import dari Brazil pada musim lalu iaitu, Gilmar Jose da Silva Filho dan Leandro Dos Santos Oliveira.

Katanya PAFA akan memenuhkan kuota tiga lagi pemain import bagi melengkapkan senarai 25 pemain bagi musim baharu, pada awal Januari tahun hadapan.

“Baki lima pemain lagi akan diisi oleh pemain-pemain Piala Presiden, yang sedang kita kenal pasti, dan ini juga sebagai persiapan kita dalam menghadapi Sukan Malaysia tahun hadapan (SUKMA 2018),” ujarnya kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Riduan di sini.

Jelasnya PAFA telah menetapkan sasaran kedudukan tiga teratas Liga Super 2018 dan menjulang sekurang-kurangnya satu piala.

Sementara itu beliau mengulas isu Stadium Perak yang masih dalam proses penambahbaikkan untuk SUKMA 2018, dan dijangka siap selewat-lewatnya April 2018.

“Untuk Home, kita kemungkinan akan menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) ataupun Stadium Tentera Laut DiRaja Malaysia, Lumut.

“Walau bagaimanapun, kita sedang berurusan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), supaya jika perlawanan kita awal, kita minta untuk bermain di luar dahulu,” jelasnya.

Ketua Jurulatih, Mehmet Durakovic yang ditemui berkata beliau gembira dengan pengumuman barisan pemain ini selain berazam akan membawa skuad The Bos Gaurus dengan lebih cemerlang lagi pada tahun hadapan.