Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Kelibat mereka sering kelihatan di persimpangan lampu isyarat sekitar Ipoh bersama dengan tangan yang dihulur ke tingkap pemandu kenderaan setiap kali lampu bertukar merah.

Ibarat tidak serik dengan tindakan penguatkuasa, pengemis lampu isyarat yang kebanyakannya terdiri daripada warga emas ini juga seringkali merisaukan para pemandu kerana perlakuan mereka yang meminta sedekah tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri.

Berikutan itu, sepasukan anggota Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah datang dan membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak untuk menyelesaikan perkara tersebut.

8-pengemis 4Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata seramai lapan orang pengemis lampu isyarat sekitar Ipoh yang rata-ratanya terdiri dari warga emas telah ditahan dalam operasi sekitar 10 pagi dan berlangsung selama lapan jam pada Selasa itu.

“Kita telah menghantar sepasukan unit bersama dengan keperluan logistik kenderaan dan fasiliti lain dan menahan lapan pengemis yang sering berlegar di lampu isyarat dan kawasan sekitar Ipoh.

“Kita tidak ingin perkara ini berlaku, ianya mencemarkan pemandangan Ipoh sebagai sebuah bandaraya yang bukan sahaja prihatin mengenai kebersihan dan kecantikan tetapi juga kebajikan penduduk kotanya,”katanya kepada pemberita.

Jelasnya, kesemua yang ditahan telah diserahkan kepada JKM negeri untuk tindakan lanjut dan pihaknya akan sentiasa menggembeling tenaga bagi memastikan perkara ini diselesaikan dengan kerjasama agensi yang terlibat.