LENGGONG – Lapan rumah kedai sederet musnah dalam kebakaran di pekan Lenggong di sini, hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong Mohd Anuar Mohd Saff berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 1 pagi dan 20 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan berhampiran.

Anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati api di rumah kedai antaranya kedai tayar, baja dan perkakasan logam telah marak. “Kami mengambil masa dua jam untuk mengawal sepenuhnya kebakaran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

– BERNAMA