IPOH – Kerajaan negeri akan mengemukakan permohonan secara rasmi kepada kerajaan Pusat untuk pembinaan sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa yang baharu di Perak.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, permohonan tersebut perlu dibuat bagi membolehkan ia dimasukkan dalam pembentangan Bajet kerajaan Pusat mahupun dalam pelan rancangan Malaysia seterusnya.

Menurutnya, tiada sebarang cadangan dimasukkan dalam pelan rancangan Malaysia mahupun dalam pembentangan Bajet ketika zaman BN sebelum ini.

“Kita cuma dengar mereka cadang nak buat di Seri Iskandar tetapi itu hanya dalam manifesto BN sahaja. Kita akan lihat semula kesesuaian lokasi tersebut.

“Pada masa sama kita akan lihat cadangan lokasi lain yang strategik seperti berhampiran dengan lebuhraya, stesen keretapi dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian selepas ditemu bual dalam FB Live, semalam.

Beliau berkata, Perak memerlukan lapangan terbang baharu sebagai menggalakkan kemasukan pelancong dan pelabur di negeri ini.

Mohammad Nizar berkata, Air Asia hampir melabur di Perak untuk mewujudkan kompleks mereka dengan jumlah keseluruhan RM2 bilion pada tahun 2008.

Katanya, bagaimanapun hasrat tersebut tidak terlaksana selepas kerajaan Pakatan Rakyat diambil alih BN.

Ditanya sama ada kerajaan negeri berhasrat menawarkan kembali peluang sama kepada Air Asia, Adun Sungai Rapat itu berkata, pihaknya akan memikirkan perkara tersebut.

“Ketika tahun 2008, Air Asia beroperasi di Subang dan masa itu belum ada LCCT dan KLIA2. Jadi kita menghormati keputusan mereka yang selesa di KLIA2.

“Namun, kita boleh lihat kembali jika hasrat mereka untuk mewujudkan kompleks Air Asia itu masih dalam perancangan atau sebaliknya,” katanya.

Sebelum ini, Mohammad Nizar mendedahkan minat syarikat penerbangan tambang rendah itu untuk melabur di Perak pada tahun 2008 malah kerajaan negeri sudahpun mengenalpasti tapak seluas 400 hektar di Behrang untuk dibangunkan kompleks Air Asia itu – sinar